Seorang gadis yang beragama Islam,
namanya Siti (bukan nama sebenar) telah menemui seorang rakan wanitanya.
Dia menangis tersedu-sedu. Wajahnya begitu sedih dan kesal.
Rakannya itu tidak tahu apa puncanya dia
tiba-tiba menangis dan begitu sedih, ” aku menyesal,” katanya di dalam
sedunya. ” Apa kamu kesalkan ? ” Tanya rakannya itu. ” Aku telah
terlanjur, aku telah berdosa, ” katanya lagi. Tangisnya semakin
menjadi-jadi.
Rakannya menjadi hairan mengapa tiba-tiba
Siti bersikap demikian. Selalunya dia seorang gadis yang periang dan
suka berjenaka. Tetapi pada petang itu Siti kelihatan begitu sedih dan
tidak bermaya.
” Apa yang telah terjadi kepada kamu ? ” rakannya ingin tahu lagi.
Siti hanya berdiam, dia duduk memeluk
lutut, wajahnya begitu kesal. Walaupun tangisannya telah berhenti tetapi
kerut wajahnya membayangkan kekesalan yang amat sangat.
Setelah disiasat lebih lanjut barulah
rakannya dapat tahu bahawa Siti telah melakukan kesalahan besar terhadap
dirinya sendiri. Dia kesal dan amat malu. Siti sebenarnya telah
melakukan maksiat dengan teman lelakinya. Dia telah berzina dan kini
mengandung anak luar nikah.
Contoh di atas adalah hasil dari
pergaulan bebas yang tidak terbatas, remaja hari ini yang tidak tahu
menjaga batas-batas kesusilaan dan agama akan menyesal sendiri dengan
perbuatan terkututnya itu.
Bila terjadi sedemikian, dia akan
menanggung malu, ibu bapa juga turut memikul beban yang buruk itu, dan
remaja yang menjadi mangsa itu biasanya remaja yang tidak pernah
membataskan pergaulannya, hingga dia lupa siapa dirinya, apa agama dan
di mana maruahnya sebagai seorang muslim.
Pergaulan bebas bukan sahaja boleh menimbulkan berbagai-bagai fitnah, tetapi akan merosakan diri sendiri seorang muslim itu.
Anda sebagai remaja muslim harus
membataskan pergaulan anda sebagaimana yang dikehendaki agama, agar anda
terselamat dari bencana dan dosa yang besar yang mungkin boleh
memusnahkan hidup anda sendiri.
Remaja harus belajar untuk membatasi
dirinya dalam pergaulan, kerana mengikutkan nafsu syaitan seseorang itu
boleh terjerumus ke lembah yang hina. Jika sudah terjadi tidak ada guna
lagi untuk dikesali.
Oleh itu berwaspadalah selalu, bergaulah
dengan bijak dan jangan sampai telanjur seperti terjadi kepada Siti.
Anda adalah remaja muslim yang harus tahu menghormati diri anda sendiri,
harus sedar ibu bapa anda juga seorang muslim yang harus dihormati
perasaannya. Jika sesuatu yang buruk dan terkutut terjadi kepada diri
anda tentu ibu bapa anda juga malu dan rasa terhina, begitu juga kau
muslim dimata bangsa-bangsa asing dan agama lainnya.
Maruah anda sendiri adalah amanah Allah
SWT kepada anda. Oleh itu sebagai seorang muslim anda wajib menjaga
amanah Allah itu, jika anda mengabaikannya Allah tidak rugi apa-apa,
yang rugi adalah diri anda sendiri.
Justeru itu, untuk mengelakkan daripada
berlakunya perkara-perkara buruk dan hina anda hendaklah mengetahui
batas-batas dalam pergaulan, anda juga mesti mengetahui menjaga diri
anda sendiri dalam apa jua keadaan sekalipun. Selain itu, anda juga
harus menghormati diri anda sendiri sebagai seorang remaja muslim, yang
harus menjaga kepentingan agama lebih dari segala-galanya. Kerana dengan
beragama sahaja seseorang itu boleh berjaya di dunia dan akhirat.
No comments: