ALOR SETAR – Jual nasi bungkus kepada orang tidak berpuasa pada harga
pakej menggunakan kereta di lokasi tersembunyi di tepi tapak pembuangan
sampah haram.
Itu yang dilakukan seorang lelaki berusia 55 tahun dipercayai untuk mendapatkan wang lebih pada bulan Ramadan ini.
Bagaimanapun, rahsia lelaki itu terbongkar apabila Majlis Bandaraya
Alor Setar (MBAS) menyerbu kereta jenis Proton Saga miliknya yang
diletakkan di belakang deretan bangunan berhampiran Terminal Bas Shahab
Perdana di sini semalam.
Dalam serbuan Operasi Ramadan kira-kira pukul 12 tengah hari itu,
lelaki terbabit sedang menunggu pelanggan dan hasil pemeriksaan di dalam
kereta menemui masing-masing 50 bungkus nasi berlauk dan minuman.
Kesemua makanan dan minuman tersebut disembunyikan di dalam beberapa
bungkusan plastik berwarna hitam yang diletakkan di tempat duduk
belakang dan but kereta.
Difahamkan, nasi bungkus dijual antara RM5 hingga RM7 mengikut jenis
lauk kepada pekerja di kawasan sekitar yang kebanyakannya pekerja
bengkel.
Dalam operasi berasingan yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Hal
Ehwal Agama Islam Kedah dan Jabatan Kesihatan negeri itu, MBAS menyerbu
sebuah gerai ditutupi kain kanvas di tepi Jalan Gangsa di sini.
No comments: