Misteri
tangisan seorang bayi yang dipercayai dari sebuah rumah terungkai
apabila menemukan wanita bergelar ibu yang sudah meninggal dunia akibat
serangan jantung.
Apabila
kita terdengar tangisan bayi, sudah tentu kita memikirkan
sama ada ia merengek kelaparan ataupun mahukan perhatian daripada
ibunya. Namun tangisan berpanjangan seorang bayi dari sebuah rumah
menjadi tanda tanya penduduk setempat lebih-lebih lagi orang yang
tinggal bersebelahan dengan rumahnya. Rupa-rupanya seorang bayi
perempuan berusia tujuh bulan dipercayai menangis berjam-jam sebelum
ditemui di sisi mayat ibunya di kuarters guru di Sekolah Menengah Sains
Bagan Datoh.
Mayat
Normaya Mokhtar, 33, yang juga guru Bahasa Jepun di sekolah berkenaan
dan dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung, ditemui rakan
yang ke rumahnya jam 8 pagi kelmarin.
Rakan mangsa yang enggan dikenali
berkata, dia menghantar SMS, malam Rabu lalu, namun tidak dibalas,
menyebabkan dia beranggapan mangsa sibuk.
“Saya pelik apabila mendapat tahu dia
tidak hadir ke sekolah (pagi kelmarin) menyebabkan saya ke rumahnya yang
tidak jauh dari sekolah itu. Sebaik tiba di rumahnya, saya dapati pintu
rumah tertutup rapat biarpun berkali-kali dipanggil, namun tiada
jawapan.
“Saya
segera memeriksa keadaan sekeliling rumah dan mendapati kunci pendua
disimpan di hadapan rak kasut rumah berkenaan sehingga membolehkan saya
membuka pintu hadapan rumahnya,” katanya.
Menurutnya, sebaik melangkah masuk, dia
terus mencari rakannya di setiap ruang sebelum mendapati mangsa
terbaring di ruang bilik tidur utama dan bayinya berada di sisi.
“Dia
ditemui dalam keadaan pucat dan terbaring di atas katilnya bersama
bayinya yang menangis. Doktor yang memeriksa keadaannya selepas itu
memaklumkan dia sudah meninggal dunia,” katanya
Menurut seorang lagi saksi yang enggan
dikenali, dia terdengar tangisan bayi berpanjangan sehari sebelum
mengetahui berita kematian guru berkenaan, namun dia tidak mengambil
apa-apa tindakan.
“Arwah seorang guru bahasa Jepun dan
sudah mengajar di sekolah berkenaan sejak lebih dua tahun lalu. Dia
sangat disenangi rakan-rakan dan suka membantu,” katanya. Ketua Polis
Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi
mengesahkan kejadian berkenaan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia
akibat serangan jantung.
“Mangsa meninggal dunia lewat petang Rabu lalu, namun hanya diketahui jiran dan rakan yang ke rumah mangsa pagi esoknya. Setakat
ini polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut namun turut
menjalankan siasatan bagi mengesan jika ada unsur jenayah,” katanya.
Difahamkan, mangsa dipercayai menetap di
rumah berkenaan bersama bayinya yang berusia tujuh bulan, manakala suami
bekerja di Johor Bahru.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Gajah petang kelmarin.
Sementara itu, Exco Kesenian, Kebudayaan,
Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika dihubungi
merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kematiannya
satu kehilangan besar bagi warga pendidik.
1 comment:
Takziah kepada keluarga arwah